
Ulasan-ulasan mengenai Kelab Golf Bukit Jawi menyebut bahawa ia adalah lapangan golf terbaik di utara tanah air dan ia juga merupakan lapangan yang unik, menarik dan perlu dicuba oleh kaki golf.
Realitinya, sebagai kaki golf kita perlu mencuba apa juga lapangan (jika ada kesempatan) tidak kira ia bagus atau tidak.
Di sebelah seberang pulau Pulau Pinang ada beberapa lapangan dan memang benarlah Bukit Jawi adalah lapangan yang berkualiti.
Kedudukannya agak terpencil iaitu di Sungai Jawi, Seberang Perai Selatan.
Jika dari Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Utara Selatan hanya mengambil masa kira-kira tiga jam.
Keluar di tol Jawi, terus ke kanan dan kira-kira lapan kilometer dari simpang tol kita akan jumpa Kelab Golf Bukit Jawi.
Jika dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, mengambil masa antara 45 minit ke sejam untuk sampai.
Lapangan ini dibuka ketika industri golf memuncak sekitar tahun 1990-an. Namun krisis ekonomi yang berlaku turut memberi kesan. Kini lapangan36 lubang yang dibahagikan kepada Lake dan Hill itu menawarkan pelbagai pakej menarik.
PandanganPertama
Apabila sampai di tol dan mula membelok ke kanan, mula timbul tanda tanya bagaimana keadaannya lapangan yang terletak di kawasan yangagak tersorok ini. Perasaan dan pandangan pertama mengenainya agak kurang menyenangkan.
Walaupun diberitahu bahawa ia lapangan yang menarik,namun perasaan skeptikal tetap ada.
Apabila tiba dan melihat kepada kemudahan yang terdapat perasaan sedikit lega. Rumah kelabnya tersergam, memberi gambaran ia bukan calang-calang kelab golf. Begitu juga dengan kemudahan di bilik persalinan.Tentunya tidak sama dengan lapangan bertaraf lima bintang di Lembah Klang tetapi, memadai. Tidak ada rungutan.
Walaupun Bukit Jawi mempunyai 36 lubang, tetapi penulis hanya berkesempatan menguji lapangan Hill. Jadi ulasan ini akan dibuat berdasarkan kepada pengalaman beraksi 18 lubang di lapangan tersebut sahaja.
Hill sepanjang 6,365 meter dari kotak tee biru merupakan lapangan bertaraf kejohanan.
Malah ia juga dikatakan lebih sukar dan mencabar daripadaLake. Disebabkan kami tidak berkesempatan menguji Lake maka tidak adil untuk membuat perbandingan.
Tetapi yang nyata Hill memang mencabar. Lubangnya panjang. Lubang satu par-4 misalnya panjangnya 400 meter.
Par limanya pula hanya satu iaitu lubang enam di bawah500 meter (490 meter), tiga lagi semuanya melebihi 500 meter.
Fairway pula beralun dan banyak dog leg. Memandangkan ia merupakan bekas ladang kelapa sawit, maka terdapat barisan pokok-pokok kelapasawit matang yang memagari fairway yang perlu dielakkan.
Setelah melalui perjalanan tiga jam dari Kuala Lumpur danberaksi pula di lapangan yang panjang dan mencabar ini menyebabkan kita hilang tumpuan.
Kotak Tee
Hampir semua kotak tee di lapangan Hill Bukit Jawi berada dalam keadaan baik. Cuma ada yang kecil dan terdapat juga yang besar. Ia dijaga rapi dengan bekas divot diletakkan pasir.
Ada beberapa kotak tee yang tidak rata yang menyukarkan untuk mencari lokasi sesuai untuk memacak tee. Tetapi secara keseluruhan kotaktee yang menggunakan rumput Zoysia Matrella.
Fairway
Keseluruhannya fairway untuk lapangan Hill yang juga menggunakan rumput Zoysia Matrella berada dalam keadaan baik.
Ia mencabar kerana sifatnya yang beralun yang mana pemain perlu bijak mencari kawasan mendarat.
Lubang satu lubangnya membelok ke kanan, tetapi fairwaynya menyenget dari kanan ke kiri. Jadi bola kecenderungan untuk ke kiri ke arah kumpulan pokok kelapa sawit yang setia menanti.
Selain itu terdapat halangan berair di lokasi strategik.
Rough
Seperti biasa, di mana-mana lapangan pun rough sepatutnya dielakkan. Sudah menjadi sifatnya dibiarkan dalam keadaan berserabut danseolah-olah tidak terbela.
Tetapi di Bukit Jawi ia tidak seteruk yang disangka.Roughnya tidak terlalu tebal. Jika boleh terbabas ke rough masih ada ampun. Malah di sesetengah tempat boleh guna rescue dalam rough untuk terus ke green.
Bunker
Sesuai dengan lapangan ini yang bertaraf kejohanan,standard bunkernya juga dijaga. Ia setaraf dengan bunker di lapangan terkemuka lain (cuma pasirnya tidak cukup putih).
Green
Greennya menggunakan rumput Bermuda Tifdwarf agak besar tetapi mengelirukan terutama untuk mereka yang baru pertama kali beraksi.
Dengan kelajuan antara lapan dan sembilan stimpmeter, green di lapangan Hill boleh memberikan masalah kepada mereka yang baru pertama kaliberaksi.
Jika mahukan dua putt, memerlukan bacaan garisan puttingyang baik. Jika menggunakan khidmat kedi berpengalaman boleh membantu. Tetapi tanpa kedi agak sukar untuk menentukan garisan putt yang sempurna.
Selalu berakhir dengan salah baca.
Berbaloikah Tidak
Lapangan ini menarik, tetapi dengan yuran green seperti yang tersenarai ia boleh dikatakan agak mahal untuk sebuah lapangan yang berada jauh dari pusat bandar.
Bagi pelawat yang `walk in’, untuk bermain 18 lubang kena belanja RM140 jika dua orang atau empat orang pada hari biasa.
Yuran greennya RM100 sementara buggy pula RM80 (agak mahal untuk lapangan bertaraf tiga bintang). Kedi pula RM35. Dengan bayaran seperti ini jika di Lembah Klang kita sudah boleh beraksi di Kota Permai.
Jika hari minggu dan cuti umum yuran greennya ialah RM140.
Kesimpulan
Jika berminat, anda boleh datang beraksi di Bukit Jawi.Hendak dikatakan berbaloi, ia bergantung kepada persepsi masing-masing.Lapangan ini ada kelebihan dan kekurangannya.
Cuma sedikit yang menjadi gangguan ialah kehadiran lalat yang dikatakan daripada ladang ternakan ayam yang terletak berhampiran lapangan ini.
Menurut kedi, pada hari kami beraksi serangan lalatnya tidak begitu teruk. Kerana kata mereka ada hari-harinya kehadiran lalat cukup menjadi-jadi. Tidak tahulah berapa teruk keadaannya.
Tarikan lain di Bukit Jawi ialah kemudahan resort yang ditawarkan dengan bilik serendah RM138 semalam. Untuk pemain dari luar mereka boleh memilih bermalam dan di sini dan mencuba kedua-dua lapangan.
Malah ia juga menyediakan pakej mesyuarat dan seminar untuk pelanggan korporat.
Fakta Kelab GolfBukit Jawi
Mengandungi 2 lapangan 18 lubang, Hill & Lake
Pereka : Wong Yew Khuan & Associates
Panjang: Hill : 6,365 meter; Lake 6,165 meter
Rumput Faiway : Zoysia Matrella
Rumput green : Bermuda Tifdwarf
Jumlah bunker : Hill 60, Lakr 67
Alamat: Lot414, MK6, Jalan Paya Kemian Sempayi,
14200 Sungai Jawi, Seberang Perai Selatan
Tel: 04-5820759
Faks 04-5822613
website: www.bukitjawi.com.my
email: enquiry@bukitjawi.com.my

Lubang 2

Lubang 4

Lubang 8 par 3

Lubang 12 par 3

Rumah Kelab

Lubang 5

